Wednesday, March 10, 2010

Indahnya bahasa kita ☺

(Gambar dari sumber: Google)

Demi menghormati apa yang bakal saya suratkan di dalam lembaran ini, saya akan mencuba sedaya upaya menghasilkan suatu tulisan yang 100% berbahasa Melayu dengan ejaan yang betul.

Sudah beberapa bulan sejak saya bercadang menghasilkan catatan ini tetapi belum berkesempatan dan saya hampir terlupa jika bukan kerana terpandang akan fail tentang pantun-pantun yang telah saya kumpulkan di 'musim demam FB dan YM' beberapa bulan terdahulu.

Bermula dengan suatu pantun mudah tapi cukup memikat hati saya hasil dari seorang sahabat, Dian, maka bermulalah jual-beli pantun di FB dan YM saya yang turut disertai beberapa rakan lain, antaranya Hasrul, Irnis dan beberapa rakan lain (beserta satu pantun dari rakan saudara Dian sendiri) yang tidak dapat saya nyatakan disini akibat kecuaian diri sendiri dalam mengingati mereka. Pantun-pantun ini ada yang menurut tema asal saudara Dian dan ada juga yang berbentuk sindiran kepada saya serta pujian kepada keindahan bahasa kita.

Berikut ingin saya kongsikan himpunan pantun-pantun yang sempat saya kumpulkan semasa 'demam pantun' tersebut dan saya berharap rakan-rakan dapat merasa terhibur dengan pantun-pantun ini serta menghayati kehalusan bahasa di dalam bentuk pantun oleh saya dan rakan-rakan yang sudah lama meninggalkan arena penulisan bahasa Melayu..

Saya mulakan dengan pantun saudara Dian yang memulakan 'demam' ini ☺ Maaf saya tidak dapat menyatakan siapa yang pemilik pantun-pantun seterusnya kerana semasa proses pengumpulan semula pantun-pantun ini, saya tidak merekodkan mereka-mereka ini.

Sirih ada, pinang ada
Saja saya tak bubuh di tepak
Kasih ada, sayang pun ada
Sajalah saya tak beri nampak

Buah pinang dibelah dua
Kapur dicalit, Sirih dialas
Kasih yang ada tak nampak di mata
Manakan sayang hendak terbalas

Daun palas diketam-ketam
Diletak disisi pinang dibelah
Kasih dibalas dalam diam
Hanya hati yang tahu mengolah

Tepak dihias seindah rupa
Ditambah anggerik penaik seri
Andai kasih didiamkan saja
Kelak hati membawa diri

Aneka buah hiasan si pria
Untuk menjadi hantaran diri
Jika diluah takut diluka
Membawa diri untuk menyendiri

Diamnya bukan kerna tak bererti
Kasihnya kian mekar di hati
Namun kisah silam menghantui
Tak betah rasanya dilalui lagi

Ini pula pantun sindiran untuk saya dari saudara Hasrul, seorang teman sekerja yang saya kenali sejak tahun 2002 yang memang gemar berseloroh (dan menyakitkan hati =p)

Pucuk digangsa beribu-ribuan
Kembang diuca balik beroleh
Kuntumnya kaca tangkainya embun
Dipandang sahaja diambil tak boleh

Kasih tercipta rindu terhenti,
Lagu sendiri pengubat duka,
Usia muda tiada lagi,
Bilakah diri menjadi dua?

Kalau berdua ketentuan sendiri
Pasti dilihat teman di sisi
Tapi semuanya kehendak Ilahi
Baik buruk, Dia Maha Mengetahui

Sinar pg cantik berseri
Mekar bunga kembang x jd
Jodoh pertemuan di tentu Ilahi
Agar bertemu jodoh sejati

Dan pantun-pantun berunsur penghayatan keindahan bahasa..

Nasi ulam sedap rasanya,
Berteman dengan air longan;
Pantun disulam seri bahasa,
Budaya lama dilupa jangan

Membanting padi keringat di dahi,
Burung tekukur bersiul manja;
Kenangan abadi di bawa mati,
Budi yang luhur dikenang jua.

Perajurit berjasa pada negara,
Untuk pertiwi dan juga bangsa;
Indah bahasa menyulam kata,
Dipalit memori hilangkan duka.

Sekian.

6 comments:

dian nais said...

salam..

terima kasih.. terasa malu diwar-warkan di sini nama saya..

entri yang baik

IrNiS said...

nama kita pun ada, nasib baik pantun kite tak de hehehhe, klu tak malu jugak

Ayu Ikhwani said...

Dian: Huuuu, penat weih nak buat entry full BM tanpe kesalahan ejaan baku.. how do you do it?!?

Hahaha.. alaaa, awak yg start sumer nih heheh.. dan klau ade pantun lagi, sile le kabo yek

Irnis: Aikk, pantun Irnis takde ke? Rase mcm dah kumpul sumer je huhuh.. kene check balik nihhh heeh..

along nordin said...

nice and sweet :)

Ayu Ikhwani said...

Kaaaann.. start nye ngan pantun kawan akak tu la.. pastu sumer org sibuk nak balas hehe..

along nordin said...

tak mampu rasanya saya nak buat pantun mcm ni,mmg interesting :)